TARIKH HARI INI

NASYID FM

DIARI HIDUP SAYA

MEMERHATI TANDA-TANDA KEKUASAAN ALLAH DI SABAH

Majlis Pengijazahan Kumpulan Pertama Lipis Bhg 5

Wednesday, February 23, 2011

Ucapan Aluan
Pengerusi Darussyifa' Lipis
Tn Hj Borhan Hj Aripin

Yg berusaha sedara pengacara majlis

Yg berbahagia Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din
Pengasas dan penasihat
Persatuan Kebajikan Pengubatan Islam (PKPI)
Darussyifa’ Malaysia

Yg Berbahagia Tuan Haji Abd Rahman Ahmad
Pengerusi Darussyifa’ Malaysia serta saf kepimpinannya,

Urusetia Majlis Pengijazahan,
Para guru / penceramah / pentasmi’
Para pelajar bakal graduan,
Muslimin muslimat yang dihormati sekalian.

Al-hamdulillah, bersama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Taala yang memperkenankan perancangan kita untuk mengadakan majlis pengijazahan kursus pengubatan Islam Darussyifa bagi para pelajar kumpulan pertama Kuala Lipis, Pahang ini. Sesungguhnya majlis ini memberi makna yang cukup besar dalam kehidupan kami. Semoga Allah merahmati majlis ini dan kita semua, Amin!

YBhg Tuan Guru Dato’ serta warga dewan sekalian,
Di kesempatan yang terbatas ini, ingin saya bawa hasrat hati kawan-kawan saya, para pelajar bakal graduan dari cawangan Lipis untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din khasnya, seluruh kepimpinan Darussyifa Malaysia amnya di atas sokongan, kerjasama yang dihulurkan kepada kami sepanjang tempoh kursus ini berlangsung. Susah payah tuan-tuan yang sudi menabur ilmu kepada kami di Kuala Lipis amat kami hargai. Sesungguhnya, tidak pernah terduga oleh kami semua insan-insan sehebat Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din beserta saf Pimpinan Tertinggi Darussyifa’ Malaysia sudi berkunjung ke surau buruk kami demi hasrat meneruskan kesinambungan pewarisan ilmu pengubatan Islam Darussyifa’ ini. Amat jelas kegembiraan dan tanda syukur di wajah mereka kerana dapat bergraduasi sekaligus berkunjung dan menjejak kaki ke Dewan Kulliah Utama, Darussyifa’ Bangi ini sebagai lawatan balas tuan-tuan sekalian kelmarin kerana ada kalangan mereka yang belum pernah sampai ke sini. Jasa tuan-tuan mendidik dan mengajar kami, kami kenang sampai akhir hayat.

Ybhg Tuan Guru Dato’ serta warga dewan sekalian,
Untuk makluman Tuan Guru Dato’, bilangan asal pelajar yang mendaftar adalah seramai 65 orang iaitu 56 muslimin dan 9 muslimat. Setelah sekian lama kulliah berlangsungan sehingga kepada proses tasmi’ Ruqyah Asas Pertama, Kedua dan Herba dijalaankan, makanbilangannya berubah kepada 58 orang iaitu 49 muslimin dan 9 muslimat.

Pelajar-pelajar ini datang dari pelbagai latar belakang. Sebahagian kecil dari mereka adalah kalangan kakitangan kerajaan dan pelajar-pelajar IPGK. Sebahagian besarnya adalah mereka yang bekerja sendiri. Namun apa yang jelas komitmen mereka sangat tinggi dalam kehadiran di kulliah-kulliah pengajian dan majlis-majlis zikir. Justeru, mereka cukup setia dan kelihatan amat confidence dalam membantu kerja-kerja rawatan di klinik sementara kami. Maka, tidak hairan kalau Darussyifa Lipis telah mendapat kepercayaan yang membanggakan (setelah hampir 4 tahun beroperasi) bukan sahaja dari warga tempatan bahkan orang luar dan juga kalangan mereka yang non muslim.

Justeru, kepercayaan (ijazah dan amanah) yang akan dianugerahkan kepada para pelajar hari ini serta kepercayaan yang telah berikan oleh mereka yang telah berpuashati dengan rawatan kami, akan kami pelihara dengan sentiasa berusaha mengamalkan prinsip-prinsip rawatan yang mendasari etika rawatan Darussyifa’ ini. Semoga pembudayaan disiplin yang tinggi oleh semua ahli kami, serta bimbingan dari Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din khususnya serta pimpinan Tertinggi Darussyifa’ Malaysia umumnya, akan terus mendapat tempat di hati masyarakat sekaligus menjaga nama baik Persatuan Kebajikan Pengubatan Islam (Darussyifa’) Malaysia. Berbekalkan kata-kata keramat “Kami (Perawat) hanya berusaha, Allah jua yang berkuasa menyembuhkan”, kami perawat –perawat Darussyifa Cawangan Lipis bertekad meneruskan usaha menyediakan rawatan alternatif bersedia meneruskan perjuangan menabur bakti mendekatkan diri dan masyarakat kepada Allah yang Maha menyembuhkan.

Ybhg Tuan Guru Dato’ dan warga dewan sekalian,
Sebelum mengundur diri, saya juga sekali lagi mewakili semua bakal graduan beserta semua warga kampung Selindang, Kuala Lipis memohon kemaafan di atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang tempoh kursus ini berjalan, ada kelapangan jemputlah bertandang.

Akhir kata, ucapan terima kasih tidak terhingga kepada urusetia Majlis Pengijazahan ini serta semua individu dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak yang bertungkus lumus membuat persiapan bagi melancarkan perjalanan majlis ini. Allah jua yang membalas jasa kalian. Kepada bakal graduan, syabas dan tahniah diucapkan. Usaha dan penantian anda berbalas hari ini.






Sekian saja ucapan saya.
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Terima kasih.

0 comments:

Post a Comment